Dia pernah ada seekor anak kucing yang amat disayanginya. Warnanya putih, jarinya enam, bunyinya kecil, sekecil badan gemuknya itu, lalu dinamakan ia Putih. Dia pulang kepenatan, Putih akan berlari mendapatkannya semata mata untuk mencakar kaki dan menggigit tangannya. Sakit tetapi untuk Putih, dibiarkan sahaja.Perutnya buncit, untuk seekor anak kucing yang kecil, ia terlalu buncit. Kadangkala dikala kebosanan, Dia memanggilnya si Buncit Putih. Suka tidur ditepi Datuk dan Neneknya dikala mereka merebah badan ditengah hari. Empat kaki menjulang awan, tergolek bagaikan segumpal kertas putih. Segumpal kertas putih yang gemuk dan buncit.
Dikala Datuk dan Neneknya bercucuk tanam dibelakang rumah, Putih akan menemani mereka sambil bermain main dengan daun daun yang jatuh berguguran daripada pohon rambutan tua rendang itu. Ataupun akan berlari laju mengejar rama rama dan pepatung yang menjadi kerap menjadi mangsa buliannya. Kadang kadang Putih yang dikejar.
Anak kecil itu tertawa.
Petang itu, Dia pulang dan mencari cari dimana Putih, anak kucing kesayangannya itu. Hari semakin gelap, awan awan hujan mula berarak. Petang itu semakin suram. Angin mula bertiup kencang membawa pohon rambutan tua itu kekiri dan kekanan. Semakin gelap, semakin suram dan semakin kelam. Putih tidak kelihatan. Semakin gelisah.
Dari jauh, segumpal kertas putih itu kaku tidak bergerak terbaring dibalik daun daun rambutan kering yang terus menghujaninya menutup perlahan lahan gumpalan itu. Hati berdegup laju. Air mata menanti masa untuk berlari. Suara mula tersekat sekat. Kaki melangkah longlai.
Dia terduduk. Putih telah tiada. Anak kecil itu terus menangis tanpa henti henti.
Dan hujan pun membasahi bumi.