Hari Keduapuluhtujuh:

Aku> jadilah isteri ku dalam mimpi mimpi kita
Dia> hanya jika kamu suami ku dalam mimpi mimpi kita
Aku> suami isteri didalam mimpi mimpi kita
Dia> mimpi mimpi kita cinta kita

Hanya dalam mimpi-mimpi kita.

Hari Keduapuluhenam:

Sejengkal namun tak tercapai. Bunuhlah aku, kerana aku sudah tidak mampu lagi.

Hari Keduapuluhlima:

Gelora jiwa. Ombak agung menggegar hati hati yang kecil. Agung dan lurus. Gelora rasa. Mengaum bagai sang harimau di rimba-rimba buana mencari sitanduk runcing berdaging manis kurang pikatnya. Gelora dalam. Hati membungkam dengan rasa jiwa yang berkayuh deras mencari tepian mu duhai permaisuri hati ratu negara jiwa hamba. Seriang kicau mergastua serunsing kacau ayat ayat tersusun aneh terbaris pelik terpaham tidak termaksud bukan, tangan tangan kecil ini menggapai mu dikala rindu itu berkabut selubung ia datang mencari arus tanah deras bak halilintar mencari jiwa, raga dan tanah.

Serunsing kacau ayat ayat tersusun aneh terbaris pelik kerana tiada ia tertakhluk, kerana tiada ada tertunduk akan dia dalam mencarimu didalam kerinduan negara jiwa hamba ini.

Rindu ini tidak akan tersusun. Rindu ini tidak akan terbaris. tetapkan aneh tetapkan pelik sampai kau bertanya gilakah Hajjaj majnunkah Alhaq itu.

Anineneria. Hamba sudah tidak boleh. Hamba sudah tidak mampu. Hamba sudah tidak upaya. Maaf ampun. rindu gelora negara jiwa lebih ia berkuasa dari minda kerana hamba juga berbicara dengan akal hati.

Hari Keduapuluhempat:

Hari ini aku tegar mencarimu. Biar tidak kau jawab, namun aku akan tetap menyapamu. Kerana aku terlalu terlalu dan terlalu rindu. Hari ini aku tegar menunggumu. Biar tidak kau hirau, aku akan tetap menyapamu. Kerana aku terlalu, terlalu dan terlalu rindu. Hari ini aku masin tegar menyintaimu. Bukankah perpisahan ini adalah jalan untuk aku melupakanmu dan kau melupakan aku. tapi kenapa bukan sahaja ia tidak lari dari benak fikirku, namun semakin kuat kasih sayangku padamu dan semakin rindu aku padamu. Aku akan menyapamu, menunggu dan mencarimu. Namun kau tiada.

Mungkin itu yang terbaik.

Hari Keduapuluhtiga:

Sayang, kau tahu yang aku akan tetap menyintaimu dengan seluruh negara jiwa ku. Kau tidak akan kehilangan aku. Dikala tak tertanggung kesakitan merinduimu, kata-kata dan lagu lagu mu membuatku terus waras. Kau tidak akan kehilanganku. Namun aku masih menanti dan menunggu detik masa dimana aku akan kehilanganmu selama-lamanya. CintaHatiJiwa.

Hari Keduapuluhdua:

Sihir hitam membunuh hati hati nista hati hati duka hati hati yang penuh serpih tajam kaca kaca dari gunung itu untuk ku tembuskan ke dada dada mereka yang patut mati. Sudah puas kau bunuh aku sudah puas kau melihat aku mati hingga kau perlu melihat dan melakukannya sekali lagi demi kepuasan serakah jiwa panji mega pendita zalim pencipta besi darah dan nanah membungkam didalam hati hati mereka itu. Jika itu yang kau mahu, pergilah kau pegilah dari sini pergi kau pergilah dari sini.

Hari Keduapuluhsatu:

Berwajah kecina-cinaan. Berkaca mata. Berkulit cerah. Berambut panjang. Elegan. Mengambil tahu perihal politik. bijak berkata-kata. Fasih berbahasa inggeris. menerima sense of humour ku. Meminati stand up comedy. Memahami punch line. Sentiasa ingin belajar tentang kehidupan. Matang. Pemikir dalam. Pemuisi. Penulis. Mendengar lagu-lagu urban. Membaca literature berat. Mampu membunuh bicaraku dengan satu patah kata. Mampu membunuh aku dengan satu sindiran pedas. Mampu membunuh aku dengan mengetahui apa yang aku fikirkan. Mampu membunuh aku dengan kebijaksanaannya pada bila bila masa sahaja dia suka namun tidak melakukannya.
Tidak wujud.
Tidak wujud.
Tidak wujud.
Tidak wujud.
Sayangnya, kiraan aku salah. Dia ada disitu.

Hari Keduapuluh:

Burung-burung nuri berwarna hijau. Pelangi-pelangi berbentuk daun dan berwarna oren. Air-air sungai jernih berperisa strawberi memacu jingga di padang-padang hijau dan kuning. Kenit-kenit berpakaian merah jambu berjanggut putih berambut afro dan berkasut hitam. Guni-guni biru berisi cokelat-cokelat cair. Daun-daun vanila yang berwarna indah sambil dibalik semak-semak beri biru itu ada sepasang burung merak mencari makan. Bola-bola disko bergemerlapan. Nada-nada aneh meletus. Sorak, riang dan gembira.

Kemudian datang api. Manusia itu disihir. Mabuk dan berdosa.

Mati.

Hari Kesembilanbelas:

Pernah kau ada seorang teman yang hati kau kuat mengatakan bahawa dia adalah seorang yang tersangat istimewa? Keistimewaannya begitu khusus sehingga mampu mengubah hidup kau dengan tanpa berbuat apa-apa kecuali hanya menjadi dirinya sendiri? Tersangat istimewa sehingga kau boleh tersenyum sendirian hanya dengan terkenang perbualan-perbualan dengannya? Jangan tanya fikiran tetapi tanya hati kau.

Pernah kau ada seorang teman yang hati kau kuat mengatakan bahawa dia begitu sempurna untuk mu, sehingga kesempurnaannya itu menyempurnakan dirimu hingga satu saat kau merasa dirimu sebegitu sempurna dan lengkap, kau tidak mahu apa-apa lagi selainnya. Kesempurnaannya untukmu sehingga ke satu tahap, kau dan dia mampu mentafsir fikiran masing-masing secara spontan, menyudahkan penghujung kata-kata antara satu sama lain secara spontan malah berkata sesuatu perkara atau patah kata yang sama pada masa yang sama secara spontan? Pelik bukan. Pernah kau tanya bagaimana ini boleh berlaku? Bagaimana ini boleh terjadi. Jangan tanya fikiran tetapi tanya hati kau.

Pernah kau ada seorang teman yang hati kau kuat mengatakan bahawa dia begitu menyenangkan mu sehingga kau termimpi-mimpikan dia didalam tidurmu, hilang segala ego-egomu dalam pada masa yang sama hilang rasa rendah dirimu dan hilang segala kekalutan yang kau hadapi bila bersamanya? Kekalutan itu benar-benar hilang setiap kali kau bersamanya. Kau dapat rasakannya sendiri. Bukan kerana kau menyukainya atau punya cita ingin bersamanya, tetapi segala gala seolah satu ruang vakum yang putih dan kosong. Hilang. Pelik bukan? Bagaimana ini boleh berlaku? Bagaimana ini boleh terjadi? Jangan tanya fikiran tetapi tanya hati kau.

Pernah kau ada seorang teman yang hati kau kuat mengatakan bahawa dia memberikan mu kegembiraan kerana kau begitu bebas untuk menjadi siapa dirimu yang sebenar tanpa perlu kau berlakon sebagaimana bila kau bersama dengan teman teman lain. Kau bebas dan perasaan semakin kuat bila masing masing menonjolkan karakter diri masing-masing dan kau berasa senang dengan karektornya dan dia berasa senang dengan karektor mu. Benar-benar merasa senang. Jangan tanya fikiran tapi tanya hati kau.

Pernah kau ada seorang teman yang hati kau kuat mengatakan bahawa dia diciptakan untuk mu dan kau diciptakan untuk dia. Kau adalah adalah dia dan dia adalah kau. Malah persamaan sikap tercetus dimana mana. Malah jika kau senaraikan ciri ciri teman yang kau idamkan, maka kau sebenarnya mencirikan setiap sifat sifat yang ada padanya tanpa lebih atau tanpa kurang, tanpa kau sedari. Pelik. Bagaimana ia berlaku. Jangan tanya fikiran tapi tanya hati kau.

Pernah kah kau rasa yang kau begitu yakin yang kau tidak akan bertemu dengan seorang teman yang paling sesuai dengan kesempurnaannya untukmu. Dia hanya wujud dialam imijinasimu. alam khayal separuh sedarmu, tidak wujud di alam nyata, tetapi tiba tiba hari ini, teman dengan ciri ciri yang kau idamkan itu muncul dihadapan mata? Dan dia menginginkan dirimu sebagaimana kau menginginkan dirinya, Sesaat kau mengenalinya lebih dalam seperti setahun kau telah berkenalan dengan dia malah percintaan kalian hanya sebentar tetapi kau rasakan sebagaimana sudah berpuluh-puluh tahun kau sudah menyintainya tanpa henti. Dan kau kata, dia lah yang kucari-cari selama ini. Dan dia kini berdiri dihadapan matamu.

Tanyalah hatimu dan tafsirkan dengan fikiranmu.

Pernahkah kau rasa semua itu terhadap seorang teman dan kau tidak dapat mencapainya walau dia hanya berdiri kurang sejengkal darimu?

Aku pernah.


Hari Kelapanbelas:

Aku akan terus menyintaimu. Selamanya.

Hari Ketujuhbelas:

Wahai Tuhanku yang Maha Agung, Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Aku berpaut dibawah arash, lembayung agungMu wahai Tuhan. Kau berilah dia kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan limpah kurniaMu wahai Tuhan. Kau yang Maha Melihat, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Limpahkan segala rahmat dan belas kasih sayangMu terhadapnya. Tabahkanlah hatinya dan bukankanlah pintu-pintu cinta kepadanya biar bercahaya jiwanya dengan keagungan hidayah dan rahmatMu wahai Tuhan. Aku pinta Kau kurniakanlah kebahagiaan buat dirinya dan kurniakanlah hatinya gemerlapan kegembiraan yang tidak berbelah bagi wahai Tuhanku.
Sesungguhnya hati-hati kami adalah diantara dua jariMu wahai Tuhan yang Maha Membolak balikkan hati hati. Tetapkanlah hati kami untuk menerima takdir dan ketentuan perancanganMu wahai Tuhan.

Berilah dia kedamaian perasaan. keamanan ruh dan kententeraman jiwa sebagaimana selayaknya untuk dia. Ukirkanlah senyuman-senyuman dihatinya wahai Tuhan. Kau lapangkanlah dadanya wahai Tuhan. Usah biarkan lagi dia diselubungi kegelapan, kesunyian dan kemiskinan kasih sayang dari mereka-mereka yang Kau sudah pilihkan untuk dia wahai Tuhan, Rabbul Jalil, Rabbul 'Alamin.

Kau berilah dia jawapan wahai Tuhan kerana aku yakin dihujung lorong itu akan terdapatnya cahaya dan sinar dari barakahMu wahai Tuhan. Ubahlah hati mereka-mereka yang Kau sudah tetapkan untuk dia agar mereka-mereka itu lebih menyayanginya, menghargainya dan menyintainya sepenuh jiwa raga mereka. Terimalah doaku ini wahai Tuhan yang Maha Kaya, yang tidak terkurang walau setitispun kekayaan Mu wahai Tuhan.

Bahagianlah dia dengan pilihanMu wahai Tuhan. Damaikanlah dia dengan pilihanMu wahai Tuhan. Amankanlah dia dengan pilihanMu wahai Tuhan. Sentosakanlah dia dengan pilihanMu wahai Tuhan.

Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Haei Keenambelas:

Dan hujan pun menyelubungi negara jiwaku. Aku tidak tahu samada ia akan mampu berhenti kerana kehancuran hati itu terlalu berat. Doakan aku.

Muat turun: X Japan - Endless Rain.

Hari Kelimabelas

Aku> semua ni
Aku> i tak tahu
Dia> entahla
Dia> either way we will still end up hurting ourselves
Aku> yeah
Aku> ntah lah
Aku> kenapa la kita ditemukan
Aku> kenapa semua benda ni jadi
Aku> i tak nampak
Dia> i ask myself that very same question
Dia> all the time
Dia> why do we have to meet
Aku> :(
Aku> entah lah
Dia> kalau kita tak kenal
Dia> we wont end up like this
Aku> yeah
Dia> u still dont know that i existed
Dia> and vice versa
Aku> sigh
Aku> im out of words ma
Dia> i love you
Aku> tak tahu camne nak express my frustrations
Aku> my sadness
Dia> i know how u feel sayang
Dia> lemas
Dia> i betul betul lemas
Dia> in my own feelings
Aku> this is so hard sayang
Dia> it is
Dia> so hard
Aku> i wish this would last forever
Dia> i love you so much
Aku> yr my soul
Aku> my heart
Aku> and my one true love
Aku> one true love
Dia> awak cinta hati dan jiwa saya
Aku> :(
Dia> awak jiwa saya
Aku> awak adalah setiap nafas saya
Dia> you are a apart of me
Dia> nothing will change that
Dia> i might belong to someone else
Dia> but my soul belongs to you
Aku> :(
Dia> my love belongs to you
Dia> my heart belongs to you
Dia> when i dream, i dream of you
Aku> this is hard
Aku> this is hard
Dia> pergilah sayang
Dia> take good care of yourself
Dia> pa, i love you
Aku> i love you too
Aku> ill pray
Aku> that we ll be together someday
Aku> i dont know how
Aku> i dont know when
Aku> but ill pray hard
Dia> i love you my love
Aku> sigh
Aku> i dont wanna end this
Dia> jangan risau sayang
Aku> but i hafta
Dia> pergilah sayang
Aku> i really really really dont wanna end this
Dia> :(
Aku> you tahu berapa banyak air mata tumpah malam ni saja
Dia> and mine
Dia> the whole time talking to you
Dia> i rindu you sangat sangat
Aku> this is so hard
Aku> i cant
Dia> it is so hard
Dia> baby
Dia> sayang
Aku> :(
Dia> i wont let this hurt you anymore
Aku> i cant do this
Dia> i wont let this hurt you anymore
Dia> i will go
Aku> thatll definitely hurt me the most sayang
Aku> and you know that
Dia> i love you
Aku> i love you
Dia> i love you
Aku> forever
Dia> kita ditakdirkan bertemu
Dia> untuk berpisah sayang
Aku> please log off sayang
Aku> i cant
Dia> i love you
Aku> i just cant
Aku> i love you
Aku> forever
Aku> :(
Dia> you are my light
Dia> my soul
Dia> my life
Aku> yr my life
Aku> my love
Dia> the air that i breathe
Aku> my only one true love
Dia> i love you so much
Aku> my soul
Aku> i love you so much
Aku> more thn this whole wide world
Dia> forever
Aku> and ever
Dia> pergilah sayang...
Aku> i cant
Aku> please log off sayang
Dia> you have too
Aku> i just cant do it
Dia> because i cant
Aku> i cant
Dia> please be strong for us
Aku> i cant
Dia> sayang
Dia> this is so hard
Aku> i cant
Dia> baby
Aku> i cant
Dia> sayang
Dia> just go
Aku> i cant
Dia> please
Aku> i cant
Aku> i cant
Aku> i cant
Dia> i belong to you
Dia> i love you
Aku> Sayang....
No such nick/channel

Hari Keempatbelas:

Tiada siapa yang paling memahami aku selain Mu, Tuhan yang Maha Agung. Ampunkan segala dosa-dosaku wahai Tuhan yang Maha Pengampun, kerana sesungguhnya sebagaimana yang Kau tahu aku tidak cukup kuat untuk semua ini. Kau yang mencipta aku, aku yakin Kau lebih mengetahui semua ini dan seharusnya aku tidak perlu terangkan semuanya kepadaMu wahai Tuhan yang Maha Mengetahui. Segala puji-pujian yang teragung hanya untuk Mu wahai Tuhan yang kepadaNya sahaja selayak-layak menerima seagung-agung pujian.

Tuhan, Kau tidak pernah meninggalkan aku dikala aku didalam kesusahan jiwa, lahir dan batin. Setiap kali tangan tangan kerdil ini ku tadah meminta belas dan ehsan dari Mu, Kau tidak pernah sekali pun menghampakan aku. Segala permintaanku Kau kabulkan tanpa soal wahai Tuhan. Kau lebih mengetaui bagaimana segan dan malunya aku untuk menghadapmu dengan perkara remeh temeh seperti ini. Aku sedar wahai Tuhan, aku dicipta bukan untuk ini tetapi Qada' dan Qadar mu telah menetapkan bahawa manusia itu sesungguhnya makhluk yang terlalu lemah. Aku malu wahai Tuhan, apatah lagi untuk menitiskan air mata hanya untuk perkara sekecil ini wahai Tuhan. Namun kau lebih mengetahui wahai Tuhan yang Maha Melihat.

Berilah aku jawapan wahai Tuhan. Apa yang sedang, telah dan akan berlaku. Aku yakin semua ini adalah didalam jadual agungMu dan perancangan terbaikMu wahai Tuhan. Sesungguhnya aku merancang dan Kau juga merancang namun Kaulah sebaik-baik perancang. Berilah aku jawapan wahai Tuhan kerana aku sesungguhnya tidak mengerti dan jahil tanpa cahaya dariMu.

Aku menerima segala ketetapanMu wahai Tuhan. Tidak pernah aku menyalahkanMu wahai Tuhan dengan segala apa yang terjadi sepanjang perjalanan hidupku wahai Tuhan. Tidak pernah.

Wahai Tuhan yang Maha Mengasihani lagi Maha Menyayangi, berilah aku jawapan apakah hikmah disebalik semua ini. Kenapa Kau aturkan pertemuan aku dengan dia? Aku lemah dan tidak memahami. Sesungguhnya ujian ini amat berat bagiku dan Kau amat memahami lagi mengetahuinya. Jika dia bukan tercipta untuk aku, berilah aku hikmah disebalik pertemuan ini agar aku dapat mententeramkan gelora jiwa, mendamaikan kegundahan ruh dan menenangkan kegelisahan hatiku yang serba serbi lemah ini wahai Tuhan yang Maha Agung.

Tidak pernah aku berpaling dari Mu wahai Tuhan dan semoga aku tidak akan berpaling dariMu sehingga hembusan nafasku yang terakhir dengan izin Mu wahai Tuhan yang Maha Agung. Tidak pernah aku ingkari ketentuan yang telah Kau tetapkan. Berilah aku jawapan wahai Tuhan.

Wahai Tuhanku, berilah aku kejayaan dan kebaikan didunia ini, kejayaan dan kebaikan didunia itu, jauhkanlah aku dari azab nerakaMu dan tempatkanlah aku di syurga Mu bersama orang-orang yang baik, dikalangan mereka yang mendapat rahmat dan belas Mu wahai Tuhan.

Amin.

Hari Ketigabelas:

CintaHatiJiwa. Maafkan aku.Setiap saat aku mendongak langit. Berdoa agar puisi-puisi Somerset itu akan ditulis semula. Dan bunga-bunga orkid itu mekar kembali dengan pancawarnanya. Aku tidak tahu adakah ia akan berlaku. Tetapi akan aku tetap menanti dan membunuh jiwaku sendiri. Maafkan aku. Aku tidak mampu menanggung kekosongan ini. JiwaHatiCinta.

Hari Keduabelas:

[i]

Sayang,
Rindu aku adalah seperti rindumu,
Dalam, Luas, tidak terungkap,
Tidak terjelas, Tidak bertepi
Dan tidak berkamus.

[ii]

Maafkan aku kerana aku masih berharap. Ia bukanlah sesuatu yang aku ingin lakukan kerana adalah tidak adil bagiku untuk berfikir yang hitam hitam dan yang gelap gelap untuk kepentingan diri dan menidakkan ketentuan yang telah ditetap dan ditulis untuk orang lain, mungkin bukan kebahagiaan seperti yang kamu mahu atau impi tetapi kedamaian dan matahari dirinya terhadapmu. Maafkan aku kerana sehingga kini aku tidak dapat membantah rasa hatiku yang semakin kejam dengan rasa-rasa hati yang nista dan keji. Aku berdosa tetapi aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Semoga apa yang aku inginkan itu tidak terjadi.

[iii]

CintaHatiJiwa. Cinta yang lahir dari kesucian dua hati dan merebak lalu menguasai dua jiwa. Kau membuatkan aku merasa begitu. Ia manis tetapi aku tidak dapat memetik benihnya untuk ku suburkan buat masa hadapan.

Hari Kesebelas:

Aku buka jendela dari kotak besar yang bermuka lagi cerah bermaya sinar itu lalu ku tekan petak petak kecil berhuruf rumi yang tersusun cantik diatas papan segi empat itu hanya untuk melihat satu warkah terselit didalam kotak warkah mayaku, maka aku masuk dan membaca warkah itu.

Lama, panjang dan dalam namun aku tetap gagahi dan menamatkan qiraat ku dengan segala kudrat minda, jiwa dan raga. Aku baca berkali-kali sehingga bagai aku hafali butir butir dan selok belok qawaid ayat ayat yang diperaga. Jiwa tersentuh, emosi bergoncang, minda memberontak, badan menggigil, nafsu tertanam, mulut terkunci, hati tertangis, mata mula menitiskan salju salju cair dari melodi sedih musim sejuk disudut negara jiwaku.

Aku memberontak. Jiwaku memberontak. Hatiku memberontak. Aku juga ingin dia menerima merpati putih dariku tapi aku tidak boleh membiarkan dia terseksa. Aku tidak mahu melihat dia menangis lagi. Aku tahu walau bagaimana tenang semua ayat ayat yang akan kususun untuknya, dia akan tetap menangis dan dia akan tetap terseksa dan dia akan tetap merana.

Aku melawan jiwaku yang menentang. Aku melawan kehendak hatiku. Aku terlalu dalam didalam bahtera jiwanya sebagaimana dia terlalu dalam didalam bahtera jiwaku. Sebagaimana agungnya cita untukku terbangkan merpati itu, aku tahu tidak boleh berbuat sedemikian. Aku tidak mahu menyeksanya lagi.

Aku tahu dia mengetahui yang kata akalku terpaksa kuturut walau kata hatiku tidak begitu. Namun percayalah, aku terpaksa untuk tidak melakukannya, kerana mata belati itu bukan sahaja menghiris hatiku namun ia juga akan menghiris hatimu. Cukuplah kau tahu bahawa aku milikmu selama-lamanya.

Hari Kesepuluh:

Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi, hidup dengan jiwa yang cukup kosong merungkai tangis rindu yang tidak mampu diberi maksud, tak mampu ditafsir oleh mana mana bahasa lisan yang pernah terwujud. Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi, aku merasa kekosongan yang amat sangat, kekosongan yang tiada sempadan dan tiada titik noktah. Aku tidak pasti adakah inilah kesudahannya. Kekosongan.

Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi. Sungguh aku tidak tahu mengapa aku terlalu kuat menyintainya walaupun aku tahu aku tidak akan dapat memilikinya dan dia tidak akan dapat memiliki aku. Aku dan dia sedar ketentuan ini sejak dari mula, sejak dari awal, sejak dari detik pertama. Namun kenapa begitu dalam sekali kesannya? Kenapa begitu besar sekali kehilangan yang aku rasa? Kenapa begitu perit sekali kesakitan aku tanggung? Kenapa begitu berat sekali beban yang aku tampung dibahuku ini? Adakah ini untuk selamanya?

Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi. Memang benar, terlalu banyak air mata yang tumpah. Memang benar, terlalu besar pengorbanan yang dipinta. Memang benar, terlalu tinggi harga sebuah cinta. Aku juga tidak mampu, sebenar benar tidak mampu namun apa daya aku untuk mengubah keadaan itu. Aku tidak mampu.

Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi. Terlalu berat untuk aku melepaskan dirinya. Sehingga hari ini aku masih belum mampu melepaskannya. Aku kira aku tidak akan mampu melepaskannya sehingga hujung nyawa. Tiada siapa yang mampu menjadi penggantinya. Dia tidak akan hadir lagi.

Hari ini adalah hari kedua aku hidup tanpa dirinya disisi. Aku tersungkur dan aku tidak mampu untuk bangun lagi sehinggakan aku sudah tidak mampu lagi untuk menafsir untuk apa aku menangis jika ia tidak memberi apa apa belai jiwa pada ku.

Kerana jiwaku telah mati dua hari yang lalu.

Hari Pertama Tanpa Dia:

Semua berlaku dengan sebegitu pantas. Masih kau ingat lagi kali pertama kita bersua diruang dunia kecil tidak berpintu itu? Kau hampir hampir tidak mengendahkan aku dan aku pula hampir-hampir tidak mempedulikanmu. Kita orang lain. Kita orang asing. Namun sudah ditentukan jendela itu dibuka untuk aku menjengah ke dunia kamu dan kamu melangkah kedunia aku namun kedua dengan jiwa yang kosong.

Siapa sangka didalam keadaan sebegitu, betapa rapuhnya hati kita untuk jatuh kedalam lara rasa masing masing tanpa kawal. Rasa itu mula terbina tetapi kita tidak menyangka ia akan menjadi sebegini agung. Rasa itu mula bergelora, dari hanya diruang maya yang menyaksi segala yang telah berlaku itu. Malam-malam kita mula tampak seri dan indah tanpa satu malam pun kita persia. Kita tertaut.

Aku persoal diriku, adakah rasa ini benar dan jujur sedang aku baru sahaja pulih dan kau pula terkunci dan mencari ruang untuk bernafas. Aku hadir untukmu tepat pada masanya dan kau hadir untukku tepat pada masanya. Segalanya memang sudah tertulis, tercipta, terukir dan terbina. Tak perlu dipersoalkan lagi kerana kau dan aku tahu betapa agungnya lara rasa itu.

Dari gurauan ia bertukar menjadi jalinan. Semakin lama kita mendalami diri masing-masing, semakin jelas kita menyempurnakan ruang kosong jiwa masing-masing. Saling menyempurnakan. Seolah olah tiada lain melainkan kau lah rusuk ku yang diambil darinya untuk mencipta penyempurna aku itu. Semakin lama kita mendalami diri masing masing semakin benar kata hati itu, kita tercipta untuk sesama.

Namun....

Kita terlewat. Aku terlewat. Maafkan aku kerana aku lewat. Aku tidak mencari mu. Aku gagal menjejaki mu. Aku tidak punya pengetahuan tentang kewujudan dirimu.

Aku tidak punya pengetahuan nun dihujung dunia sana sewaktu aku merenung bintang-bintang, kau juga sedang merenung luas langit yang sama. Aku tidak punya pengetahuan, nun dihujung dunia sana sewaktu aku membilang butir-butir hujan, kau juga sedang merenung mega mendung dari luas langit yang sama.Aku tidak punya pengetahuan, nun dihujung dunia sana sewaktu aku berlari mencarimu, kau juga sedang berlari mencariku. Mencari dengan sebuah bekalan berbentuk kepercayaan. Percaya bahawa ada seorang bernama aku untukmu dan ada seorang bernama kamu untukku.

Sudah puas aku bertanya, kenapa segalanya perlu berakhir. Namun mulai hari ini jiwaku sudah mati dan aku sudah tidak mahukan jawapannya lagi.

Hari Terakhir

ANIN ENERIA
(...dan ia pun berakhir)

Setiap saat aku lihat wajahmu
setiap kali itu jua aku jatuh cinta padamu
dikala aku merindu kusebut namamu selalu
lalu kau hadir dalam mimpi mimpiku
hadir kekal didalam fikiranku
kerana aku jatuh cinta
denganmu
kepadamu

Kita adalah insan yang berbeza
namun hati kita sama saling melengkapi
saling menghiasi dan saling menandingi
cara kita
cara istimewa kita
cara cinta kita
cara istimewa cinta kita

aku tahu kaupun tahu
segala keindahan ini
akan berakhir tidak lama lagi
akan terhenti beberapa saat nanti
akan terkaku beberapa detik ini
bila kau mula melangkah kearah hidupmu
dan aku melangkah kearah hidupku
kau akan kehilanganku
dan aku akan kehilanganmu
buat selama lamanya

betapa aku harapkan aku tidak bertemu denganmu
dan tidak jatuh cinta denganmu
dan melukai hatiku sendiri
dan juga hatimu
namun takdir menemukan kita untuk saling menyinta
untuk mendalami sesama
untuk ada bila perlu ada
walau pasti ia sementara
akan berakhir segalanya

benarkan aku bermimpi
benarkan aku tidur lagi
benarkan aku terus dibuai sunyi
biar aku hidup didalam mimpi itu
bersamamu
agarkan dapat ku corakkan hidup kita
mengikut apa yang kita impikan
walau dalam mimpi
biarpun dalam mimpi
hanya sekadar mimpi

menghitung detik
bila ia kan berakhir.....

------

Dan ia pun telah berakhir
15 Februari 2008
Jumaat, 1.50 pagi.

Hilang sudah puisi puisi Somerset dan gugur setiap kelopak bunga bunga orkid berwarna ungu dan jingga itu. Puisi puisi itu tidak akan dibaca lagi dan bunga bunga itu tidak akan tumbuh lagi buat selama - lamanya. Jika ada tika, jika ada masa, jika aku dan kamu, dilahirkan semula, aku pasti akan berlari mencarimu dan aku berjanji tidak akan ku henti langkah kakiku ini sehingga kau didalam pelukanku semula. Maafkan aku dan terima kasih untuk memori-memori. Kau akan tetap hidup didalam hatiku selama-lamanya. Satu Empat Tiga Tujuh Anin Eneria.... dan hujan pun turun tanpa henti.

Hari Kelapan:

Selamat hari kasih sayang! Hanya hari ini kau layak disayangi dan dikasihi malah dirindui melebihi dari hari hari yang lain, hanya hari ini kau layak diberi berkotak kotak coklat berjenama mahal yang diimport dari Egypt, hanya hari ini kau layak untuk menerima jambangan bunga ros ros putih yang diimportkan khas dari Fiji, hanya hari ini kau layak untuk dibawa ke tempat makan paling mahal untuk menikmati candle light dinner dengan gesekan biola dari pakcik pakcik bermisai yang kononnya bernama Ramos, Miguel dan Gonzales, hanya hari ini akan dilayan sebaik baik seolah kau adalah kerabat kerabat terhebat datang mencemar duli memijak tanah debu diera pahlawan Mat Salleh, hanya hari ini kau layak untuk mendengar ucapan cinta sebanyak 45 kali setiap satu jam, hanya hari ini kau layak untuk dibelai dimanja dirindu.

Hanya untuk hari ini. Dan jika kau menganggap ini adalah satu tribute maka aku rasa aku memang patut penggal kepala kau.

Hari Ketujuh:

Wahai Encik Walrus, pernahkah kau menari dengan seorang orang yang berperisa vanilla? Aku pasti kau akan menyukainya wahai Encik Walrus, kerana aku amat mengkaguminya dan begitu menyenanginya. Walaupun warnanya jingga dan sedikit kemerahan apabila matahari terik diatas kepala, kecantikannya tetap tersergam seindah Menara Eiffel diwaktu senja.

Wahai Encik Walrus, jika kau ingin tahu lagi, dia seorang yang sangat sangat bijaksana dan gemarkan ais krim. Mungkin kau sudah mengagak kenapa aku katakan perisanya vanilla. Harum. Usah kau tersenyum-senyum wahai Encik Walrus dan tutup mulut mu sebelum ianya dimasuki oleh Bruno si lalat daripada Poland itu. Tapi aku faham dan aku mengerti. Jangan kau risau Encik Walrus. Disini rahsia kita selamat.

Wahai Encik Walrus, rambutnya panjang dan sangat cantik, aku pasti akan terpersona melihat keayuannya, apatah lagi bila dia berkaca mata dan menyanggul rambutnya. Kesuciannya, kewanitaannya, keperisa vanillaannya, kebijaksanaannya dan kesemua sekali mengenai seorang orang itu adalah seperti pelangi yang menyempurnakan antara satu sama lain.

Encik Walrus, aku terlalu menghargainya dan aku terlalu sayang padanya. Oleh yang demikian, permintaan kau untuk berkenalan dengannya adalah ditolak serta-merta.

Hari Keenam:

Kata-kata, kadangkala, itu lebih tajam dari hirisan sebilah pisau. Sedar atau tidak, dia terhiris dek kata kata manusia yang lalai itu, walaupun luka itu hanya sehiris jalur halus sebesar liang roma yang tak jelas dek mata. Hakikatnya dia terluka. Kadangkala manusia itu terlalu kerap melakukan sesuatu perkara atau mengeluarkan kata-kata, yang selalunya akan disesali dan dikesali pada akhirnya. Disesali. Dikesali. Disesali. Dikesali. Berulang-ulang kali sehingga warnanya berubah menjadi kuning dan putih.

Kadangkala kata-kata itu lebih tajam dari hirisan sebilah pisau dan ketahuilah bahawa manusia itu adalah makhluk yang kerap malah sentiasa lupa, leka dan lalai. Akar kata perkataan insan itu sendiri adalah dari kalimah Arab yang berrmaksud lupa. Kerana manusia itu pelupa maka dia akan mengulangi kesalahan itu berulang-ulang kali lagi sepanjang hidupnya sebagai seorang manusia. Bukan kerana dia ingin mengulanginya tetapi terlupa yang dia pernah melakukannya.

Kata-kata itu kadangkala lebih tajam dari hirisan sebilah pisau dan ketahuilah bahawa makhluk itu adalah makhluk yang suka menggunakan kelebihan akalnya untuk memberi alasan, memutar belitkan fakta untuk memberi alasan, mengelak tanggung jawab dengan memberi alasan bahkan berkata dusta dengan mencampak kan kepada mereka-mereka yang berperisa strawberry itu dengan segala perisa alasan yang tida munasabah.

Dan kata-kata itu memang lebih tajam dari hirisan sebilah pisau.

Hari Kelima:

Akhirnya ia berakhir juga walaupun aku tidak pernah meminta segalanya untuk diakhiri, disudahi dengan keadaan sebegini emosional namun aku tidak berupaya melawan takdir. Aku terlalui menyayanginya, menyintainya namun tidak pernah berkesampaian untuk aku luahkan segala-galanya. Sehinggalah segalanya sudah pun terlambat.

Bila aku buka kelopak mataku semula, hanya dia sahaja yang masih meratapi, sedang yang lain sudahpun berlalu pergi. Dia menangis. Aku bertanya, air mata itu untuk siapa? Tiada jawapan. Aku menyentuh bahunya dengan maksud untuk mendamaikannya namun dia tidak berpaling. Adakah dia sudah membenci aku? Aku panggil namanya berkali-kali, namun dia tetap tidak berpaling seolah-olah kesedihan telah membuatkan derianya tidak lagi terkesan. Tidak mungkin. Dia tidak menyintai aku.

Dia bangun menuju ke pintu yang asing itu, aku tergamam lalu bersembunyi disebalik tirai. Dia langsung tidak mempeduli apatah lagi untuk menghiraukan aku. Dalam tidak sedar aku menangis sendirian seketika. Namun ada sesuatu yang tidak kena dengan nya. Dia tidak begini. Tidak.

Aku mengekorinya dalam diam, bersembunyi dibalik bayang-bayang. Aku lihat dia terus menyendiri dan pipinya tidak pernah kering dari air mata. Air mata itu untuk siapa? Aku bersembunyi disebalik bayang-bayang. Dia membuka tingkap dan merenung langit biru itu.

Lama..

Diam..

Senyap..

Air mata..

Dia mengalirkan air mata lagi. Aku bosan, aku cemburu, aku marah dan aku tidak mampu mengawal perasaanku. Kenapa dia bersikap begini. untuk siapakah air mata itu? Namun aku diam dan terus memerhati disebalik bayang-bayang.

Dia menangis. Air matanya mencurah-curah. Dia menyebut sesuatu. Aku dekatkan telinga kecilku ketempat dia sedang berdiri ditepi tingkap yang menghadap mega langit yang kosong itu. Dia menyebut sesuatu. Aku dekatkan lagi telingaku kearah badannya walaupun separuh badanku masih lagi tersembunyi dicelah bayang-bayang. Dia menyebut sesuatu.

Dia menyebut namaku!

Aku tersentak dan pada masa yang sama aku rasakan aku ditarik perlahan-lahan menuju langit. Aku bagaikan terawang-awang. Aku terapung keudara, kaki tidak mencecah bumi dan tertarik keatas perlahan-lahan. Apa yang berlaku pada aku? Aku cuba mencapai bahunya. Tembus. Aku memanggil-manggil namanya. Aku lihat dia tergamam dan terkedu. Adakah dia mendengar suaraku. Aku terus girang, tersenyum tetapi didalam tangisan sedang badanku perlahan-lahan naik ke udara. Dia mencari-cari suara ku. Aku disini wahai teman, aku disini. Dia mencari-cari suaraku, menyebut namaku berulang-ulang kali dan menggapai-gapai kosong meraba udara. Air matanya tumpah seperti air hujan dibulan November.

Aku terus diangkat ke atas awan awan putih, meninggalkannya sendirian yang masih mencari-cari aku, menyebut-nyebut namaku, mengapai-gapai mencariku, semakin kecil dan semakin kecil dan semakin kecil sehingga aku tidak lagi dapat melihatnya. Namun aku amat yakin bahawa air mata itu adalah untuk aku. Aku menangis. Lalu rintik hujan pun mula membasahi bumi itu.

Hari Keempat:

Hari ini aku ingin menari-nari diatas pelantar marmar itu. Biarkan aku menari-nari mengikut rentak alunan simfoni susunan Bach yang agung itu. Biar aku menari-menari bersama kelip kelip yang mengeluarkan cahaya gemerlapan dan megah bersinar itu. Biar aku menari-nari agar gundah dan resah jiwaku hilang bersama khayalan kota-kota Versailles itu.

Biarlah mereka bercerita tentangku. Biarlah mereka membunuhku. Biarlah mereka memadam jiwa ragaku. Sudah puas aku mendengar, dibunuh dan terpadam. Aku tidak mahu hidup hanya untuk membiarkan hatiku dihuni oleh manusia manusia psikopatia yang seringkali berasa terancam bila kesunyian.

Hari ini biar aku terus hidup didalam mimpi-mimpiku tanpa terbeban dengan cerita-cerita mereka, plot-plot pembunuhan mereka dan pemadaman jiwa oleh mereka, manusia-manusia psikopatia itu.

Sudikah kamu untuk menari denganku?

Hari Ketiga:

Pernahkah kau merasa kau seperti berada diatas sebuah padang rumput yang mana rumput-rumputannya berwarna biru dan merah jambu serta berbagai corak dan rupa bentuk daunnya? Atau pernah kah kau merasa kau seperti berada dibawah bayang redup sepohon pokok epal yang begitu banyak rimbunan buah-buah epalnya yang berwarna merah terang sehingga membuatkan kamu hanya mampu melihat sepohon pokok epal yang dihiasi dengan daun-daun yang berwarna merah dan hijau? Atau pernahkah kau merasa kau dikelilingi oleh penguin-penguin Atlantik bertuksedo menyanyi nyanyi lagu-lagu lounge ala Las Vegas, berharmoni dengan indah dengan nada baritone seperti penyanyi-penyanyi badwi dari Sahara? Kau seakan khayal, kau terpana dan kau tenggelam.

Aku merasakan aku begitu. Aku khayal, aku terpana dan aku tenggelam. Kerana ianya sungguh dan terlalu indah!

Hari Kedua:

Sukar untuk aku lelapkan mata sedang hati aku tidak tenteram kerana terpaksa berpisah dengan malaikat itu. Sedang hati tidak tenteram kerana terpaksa berjauhan dengan jiwaku yang kedua itu. Aku mengira-ngira warna-warni belon yang sedang terbang di ruang mata ku. Aku tidak boleh lelap kerana aku tidak boleh tenang untuk menunggu saat datangnya malaikat itu, jiwaku yang kedua itu dan warna-warni belon itu beransur hilang dari dalam minda ku.

Senyuman kota kota Versailles itu masih belum hilang tetapi perarakan borjuis borjuis yang menyanyikan syair syair cinta karangan malaikat itu memaksa aku pergi, memaksa aku bersembunyi. Aku belum mahu pergi dan aku belum mahu bersembunyi. Biar aku nikmati gurindam gurindam dan puisi puisi Somerset itu sebelum aku tinggalkan keindahan taman ini.

Semakin lama ku dengar semakin menjauh tak mampu ku capai tak mampu ku berpijak dan tak mampu ku terus sehingga tertarik aku ke alam khayal menangisi kejauhan cinta jiwa itu.

Hari Pertama:

Dan ia pun berlari-lari mengelilingi pokok oak yang tua itu sambil mengeluarkan bunyi-bunyi bising yang tidak mampu aku fahami. Pokok oak tua itu seperti tersenyum girang melihat pasangan arnab yang masing-masing berwarna merah jambu dan hijau epal itu, berlari-lari mengelilingi akar banirnya dengan ceria.

Laju. Sungguh laju. Aku berusaha untuk mengejarnya namun ia terlalu laju sehingga aku sangat yakin dan percaya bahawa dua ekor arnab itu mempunyai 2 pasang sayap kecil berwarna putih pada badannya. Aku terus juga berusaha untuk menangkapnya hinggalah ke satu saat aku sudah lelah mengejarnya dan berhenti lalu menghembus asap asap manis berwarna kuning dari bakaran lipatan daun-daun kismis muda yang aku temui didalam poketku.

Pasangan arnab merah jambu dan hijau muda itu datang kepadaku sambil berkata:
Tidak perlu kamu memaksa dirimu untuk mendapatkan aku kerana kamu tidak akan dapat mengejarku walau sepantas mana kau berlari. Kerana ia tidak akan datang dengan paksaan.
Lalu aku mengangkat arnab-arnab itu dan aku masukkan kedua-duanya kedalam kotak hati untukku simpan sebelum ku berikan kepadamu sebagai tanda perkenalan.

Sehari sebelum kelmarin

Dimana terdapatnya puisi-puisi Somerset dan juga bunga-bunga orkid berwarna ungu dan jingga, maka disitulah kau akan mendapati aku.
 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com