Hari Pertama Tanpa Dia:

Semua berlaku dengan sebegitu pantas. Masih kau ingat lagi kali pertama kita bersua diruang dunia kecil tidak berpintu itu? Kau hampir hampir tidak mengendahkan aku dan aku pula hampir-hampir tidak mempedulikanmu. Kita orang lain. Kita orang asing. Namun sudah ditentukan jendela itu dibuka untuk aku menjengah ke dunia kamu dan kamu melangkah kedunia aku namun kedua dengan jiwa yang kosong.

Siapa sangka didalam keadaan sebegitu, betapa rapuhnya hati kita untuk jatuh kedalam lara rasa masing masing tanpa kawal. Rasa itu mula terbina tetapi kita tidak menyangka ia akan menjadi sebegini agung. Rasa itu mula bergelora, dari hanya diruang maya yang menyaksi segala yang telah berlaku itu. Malam-malam kita mula tampak seri dan indah tanpa satu malam pun kita persia. Kita tertaut.

Aku persoal diriku, adakah rasa ini benar dan jujur sedang aku baru sahaja pulih dan kau pula terkunci dan mencari ruang untuk bernafas. Aku hadir untukmu tepat pada masanya dan kau hadir untukku tepat pada masanya. Segalanya memang sudah tertulis, tercipta, terukir dan terbina. Tak perlu dipersoalkan lagi kerana kau dan aku tahu betapa agungnya lara rasa itu.

Dari gurauan ia bertukar menjadi jalinan. Semakin lama kita mendalami diri masing-masing, semakin jelas kita menyempurnakan ruang kosong jiwa masing-masing. Saling menyempurnakan. Seolah olah tiada lain melainkan kau lah rusuk ku yang diambil darinya untuk mencipta penyempurna aku itu. Semakin lama kita mendalami diri masing masing semakin benar kata hati itu, kita tercipta untuk sesama.

Namun....

Kita terlewat. Aku terlewat. Maafkan aku kerana aku lewat. Aku tidak mencari mu. Aku gagal menjejaki mu. Aku tidak punya pengetahuan tentang kewujudan dirimu.

Aku tidak punya pengetahuan nun dihujung dunia sana sewaktu aku merenung bintang-bintang, kau juga sedang merenung luas langit yang sama. Aku tidak punya pengetahuan, nun dihujung dunia sana sewaktu aku membilang butir-butir hujan, kau juga sedang merenung mega mendung dari luas langit yang sama.Aku tidak punya pengetahuan, nun dihujung dunia sana sewaktu aku berlari mencarimu, kau juga sedang berlari mencariku. Mencari dengan sebuah bekalan berbentuk kepercayaan. Percaya bahawa ada seorang bernama aku untukmu dan ada seorang bernama kamu untukku.

Sudah puas aku bertanya, kenapa segalanya perlu berakhir. Namun mulai hari ini jiwaku sudah mati dan aku sudah tidak mahukan jawapannya lagi.

0 tulisan tambahan:

 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com