Berjalan Kaki Ke Utarid:

Mulai daripada hari ini, kau tidak usah bimbang lagi. Aku akan menjaga dirimu sehingga nafas aku yang terakhir. Akan aku berikan hanya yang terbaik untukmu dan tidak akan biarkan setitis pun air mata itu mengalir kerana ku. Lupakanlah segala kisah silam kita, mungkin ada tikanya manis dan mungkin kadang kalanya pahit, semuanya mendewasa.

Dihatiku tersemat hanya satu. Aku ingin membahagiakan dirimu. Janjiku. Untukmu, sanggup aku berjalan kaki ke Utarid.

Dan Jiwa Kecil Itu Terus Menangis:

Jiwanya masih muda. Meskipun sukar untuk ditelan namun jiwa kecil itu tempuhi jua walau dia kurang mengerti larian larian hidup yang melepasi bahunya.

Sukarnya jiwa kecil itu melihat teman teman lain yang megah bercerita tentang apa yang jiwa kecil itu tiada. Kehilangan itu diterima namun jiwa kecil itu tidak bersedia untuk ini. Tiada jawapan yang mampu diberi setiap kali jiwa kecil itu dilontar soalan soalan kejam meruntun jiwa kecilnya.

Didalam hari hari keramaian sekolahnya, teman teman lain girang bersama sama dengan apa yang jiwa kecil itu tiada. Jiwa kecil itu hanya mampu melihat dari sudut yang paling jauh, di penjuru yang paling kecil, disebalik ruang sembunyi yang paling gelap.

Dia bermain main sendirian tanpa ditemani oleh apa yang jiwa kecil itu tiada. Jiwa kecil itu kerinduan dan dahagakan kasih sayang dari apa yang jiwa kecil itu tiada. Kehilangan itu diterima namun jiwa kecil itu tidak bersedia untuk ini.

Kenapa kebahagiaan untuk bersama didalam pelukan manja apa yang jiwa kecil itu tiada dicuri darinya? Jiwa kecil itu ingin membesar bersama dia, ingin merasa pelukan kasih sayang dia dan ingin mendapat perhatian daripada dia sebagaimana teman teman lain bersama dengan dia dia mereka.

Jiwa kecil itu hanya mampu menangis didalam keirian hati yang memuncak, namun tiada apa yang mampu dia lakukan. Jiwa kecil itu menghela nafas panjang dan terus berjalan kearah cahaya itu tanpa mahu kembali lagi.

Bersemadilah dengan aman duhai bapaku. Kita pasti akan bertemu lagi. Insya Allah.

Dan Itulah Yang Paling Indah:

Kuasa apakah ini yang membuat hatiku kaku dan tergamam. Terdiam memandang mata mu yang bercahaya suci dari gelap jiwa malam itu. Usah kau dewasa wahai anak kecil, usah kau fahami kekalutan dunia ini. Tetaplah kamu dialam indah muda mu dan usahlah kau melangkah keluar daripadanya. Sesungguhnya kau tidak perlu melihat kepunahan jiwa bangsa mu yang semakin hanyut didalam kehitaman ini. Dan ketahuilah aku akan sentiasa tersihir oleh senyuman mu.

Dan itulah yang paling indah.

Mencari Yang Dicari:

Jika takdir itu boleh diubah ubah, sudah pasti dia akan cuba mengubahnya. Dia tidak mahu berdiri sendirian lagi. Dia tidak mahu hanya bertemankan bayang bayang itu. Letih sudah jari jemari menari diatas helaian helaian perca perca jiwa itu. Namun hakikatnya, takdir itu sudah tertulis dan dia tidak mampu untuk melakukan apa jua yang terdetik didalam tarian hatinya. Tarian jiwa laranya.

Jika takdir itu boleh diubah ubah, sudah pasti yang dicari itu tiada dicari kerana ia sudahpun berdiri dihadapan matanya. Dia gusar mencari jalan untuk menggapainya namun yang hidup hanya cinta dan harapan. Cinta itu masih hijau namun harapan itu sudah kelabu dan masa sudah menghampiri putih. Dia terdiam. Melangkah longlai mencari yang dicari yang sudah ada dihadapan mata tetapi gagal dilihatnya, gagal digapainya, gagal dirasainya.

Jika takdir itu boleh diubah ubah, hati lara ini pastikan terubat. Oh penawar, dimanakah dirimu?

Yang Terpaling:

Paling dia suka:
1-Melihat butiran butiran hujan yang berlumba dari syurga.
2-Melihat megah mentari di ufuk kala senja yang agung.
3-Melihat bintang bersinar di malam malam mahakarya.
4-Melihat padang luas yang menghijau sesaujana mata menilai.
5-Melihat anak anak kecil tersenyum didalam kebebasan jiwa.

Kerana aku manusia yang bisu dan kau tidak akan pernah fahami.
 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com