P/S - I Will Be Missing You.

Maafkan abang, ampunkan abang. Hidup tidak pernah sebegini tersepit dengan pilihan namun abang tahu dan awak tahu yang keputusan ini adalah yang paling tepat. Ia begitu menyakitkan, begitu melukakan dan akan mengambil masa yang lama untuk luka ini untuk sembuh. Tidak pernah sesuatu pilihan sebgini menyakitkan.

Walaupun beribu ribu kali abang ucap dan bisikkan, namun dikesempatan yang terhujung ini abang tetap ingin lagukan ucapan terima kasih kerana menerima cinta abang dan memberi abang cinta sedalam cinta abang pada awak. Hidup tidak pernah sebegitu sempurna sejak saat pertama abang mengenali awak. Tiada kata didalam kamus kamus jiwa kita untuk memberi tafsir yang tepat tentang perasaan ini kecuali kesempurnaan. Awak sempurnakan abang dari segenap segi dan cara. Terima kasih.

Terima kasih kerana memberikan kebahagiaan yang suatu ketika abang tak yakin akan wujud, jika wujud sekalipun abang tidak yakin bahawa ianya untuk abang tapi kehadiran awak telah membuatkan abang terlihat bahawa sememangnya kesempurnaan cinta itu wujud dan abang telah menikmatinya setiap saat dan detik jari jari kita terpatri. Terlalu sempurna.

Sebelum ini untuk cinta abang sanggup memberi dan menggadaikan seluruh jiwa raga walaupun tidak pernah walau sekalipun dibalas dengan penghargaan yang setimpal dan seadilnya, namun cinta yang awak hulurkan kepada abang membuatkan setiap titik kasih sayang yang abang curahkan itu berbaloi setiap detik. Abang tidak pernah menikmati kepuasan sebegini. Sampai sekarang abang masih tertanya tanya, adakah semua ini benar benar sedang berlaku atau hanya mimpi sahaja.

Dan demi Tuhan, semua ini adalah benar.

Setiap saat dikala kita bersama meluahkan segala bukti cinta merupakan saat saat yang paling bahagia, paling indah. Sukar untuk digambarkan kembali malam malam itu dimana kita hanyut didalam pelukan masing masing dan lemas didalam jutaan kata kata cinta yang begitu dalam. Setiap gelak tawa dan senyum itu akan sentiasa abang semat rapi disatu penjuru didalam hati abang.

Kita sentiasa kehabisan kata kata untuk membuktikan cinta kita dan masih masing sentiasa terkedu. Kebijaksanaan dan kematangan pendapat awak sentiasa membuatkan abang berbisik kepada diri sendiri, sesungguhnya aku seorang lelaki yang paling beruntung.

Namun...

Sedalam mana kita cuba kuburkan kenyataan itu ia pasti akan sentiasa menghantui fikiran kita. Bukan senang untuk abang lepaskan semua ini. Hampir mustahil tapi abang harap awak faham yang abang tidak boleh terus hidup dalam mimpi. Ini semua adalah nyata tapi apa yang kita berdua inginkan adalah mimpi semata mata. Tiada siapa yang ingin melepaskan semua ini.

Abang tahu awak faham kerana awak sahaja yang mampu menghabiskan setiap patah perkataan yang terbit dari mulut abang walau belum sempat abang ucapkan. Hanya awak seorang sahaja yang boleh membaca setiap apa yang abang fikirkan dan menenangkan abang seperlunya dan abang yakin awak juga terpaksa bersetuju bahawa keputusan yang kita ambil dan terima adalah keputusan yang paling tepat.

Berminggu minggu abang mengumpul segala kekuatan bagi menghadapi saat paling getir itu. Jiwa abang tidak pernah tenang daripada kekalutan memikirkan saat paling getir itu. Malam malam sunyi seolah solah begitu bising menyukarkan lena. Dingin hembusan angin malam seolah olah begitu membahang menyukarkan lelap. Abang tahu, walau sebanyak mana pun kekuatan yang terkumpul, ia tidak akan pernah membantu menangkis perit yang akan abang rasa. Dan abang tahu, awak juga merasakan yang sama. Tapi kita tiada kuasa untuk mengubah takdir. Tangan tangan kita terkunci. Walau sekerap mana kita cuba untuk tidak memikirkannya, kita akan tetap terpaksa menghadapinya. Pasti.

Abang tidak pernah kesal. Satu saat pun abang tidak akan abang sesali pertemuan kita. Ia adalah satu keajaiban. 20 tahun abang mencari awak didalam gelap bumi, merenung bintang bintang dilangit bertanya bulan dimanakah dia orang yang sedang mendongak melihatmu ditika yang sama ini. Dan walaupun seketika, abang tetap bersyukur kerana abang akhirnya dipertemukan dengan awak.

Awak, tiada yang abang inginkan melainkan yang terbaik untuk awak. Jika diikutkan hati, abang ingin bersama dengan awak sehingga kita berdua meniti hari hari tua dengan tangan yang masih tergenggam kemas tapi kita tiada daya. Mungkin benar sepertimana kata awak, in another life time, didalam hidup yang lain, mungkin kita ditakdirkan untuk bersama.

Awak, abang akan sentiasa berdoa agar pintu hati awak terbuka untuk dia. Abang mahukan kebahagiaan untuk awak. Abang akan cuba untuk jatuh cinta lagi walaupun mungkin akan tiada lagi yang mampu menandingi awak. Didalam diam abang terpaksa memperakui bahawa jika ada pengganti itu nanti, dia akan sentiasa menjadi yang kedua kerana takhta hati ini sudah lama terisi.

Semoga kita akan berjumpa lagi didalam dunia yang lain.

Benign
2 haribulan Jun Tahun 2008

P/s- I will be missing you.

1 tulisan tambahan:

Sufi Idany said...

menerima sesuatu yg mimpi itu sebagai kenyataan terlalu payah pada logik akal manusia, namun yang pernah sama bermimpi kebahagiaan nya cukup mengindahkan rasa, menenangkan jiwa, memberi sedikit keyakinan tentang lahirnya rasa utk saling menyempurnakan.... hakikatnya bermimpi lah kerana indah nya mimpi itu mampu membebat luka yang tercarik pd realiti.

 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com