Hari Ke empat puluh lima:

Kau selalu menyuruh aku agar berhenti menangisi masa depan kita. Apa yang kau mahu aku katakan? Yang semuanya akan berjalan dengan baik sebagaimana yang kita mahukan?

Hari Ke empat puluh empat:

Kau ada dia
Aku tidak punya siapa
Kini
Setiap kali aku melihat wajahmu
Aku hanya lihat dia
Dan ianya sangat sangat menyakitkan

Kau cuba merawati
Aku akan menjumpai
Seorang kekasih abadi
Agar kau tidak diselubungi
Rasa dosa
Kerana membuat aku begini

Ya, salah ini salah aku juga
Aku yang mengiyakannya
Aku melangkah masuk kedalamnya
Dan kau masih ada dia
Dan setiap kali aku melihat wajahmu
Aku lihat dia

DIA, DIA, DIA

Kau kan pulang
lari kedalam pelukannya
Hanyut dalam ciumannya
Leka dalam sentuhannya
Kau kan teruskan hidupmu
bersama dengannya
dan kau akan belajar untuk menyayanginya
belajar memahaminya
belajar menyintainya
dan akhirnya tenggelam
dengan sikecil yang menghiasi kau dan dia

Aku?
Aku akan tetap disini
berdiri mengharap wujudnya
dirimu yang kedua.

Hari Ke empat puluh tiga:

Indah bila kita bertemu dengan pasangan yang paling ideal. Kita tidak pernah menjangkakan bahawa dia wujud, tetapi hari ini dia berada dihadapan mata. Pasangan yang paling ideal.Kita berasa bebas bila bersamanya dan sempurna. Setiap hari bersamanya, terlalu bahagia sehingga tidak terucap dengan kata kata. Pernah mengalami perasaan sebegitu? Perasaan cinta yang begitu dalam sehingga tiada ungkapan kata kata yang mampu memberi tafsir yang paling tepat untuknya? Tak terkata? Pernah? Ia pengalaman yang paling aneh, tidak tergambar dek kata kata. Seolah dunia ini berpaksikan kita dan pasangan sahaja.

Ramai orang yang mengaku memahami keadaan itu tetapi sebenarnya terlalu terpesona dengan kegembiraan sahaja, bukan rasa yang pada dasarnya adalah rasa hati. Tidak ramai yang tahu menafsir bahasa hati kerana terkabur dengan perasaan seperti gembira, teruja dan bermacam lagi, lantas apa yang sebenarnya rasa gembira itu ditafsir sebagai rasa cinta yang dalam. Tidak ramai yang tahu menafsir bahasa hati.

Bagaimana untuk melihat cinta yang dalam itu? bagaimana untuk merasainya? Tunggulah sehingga anda ada peluang untuk berada didalam keadaan yang anda sudah tidak punya harapan untuk bersamanya, namun anda masih lagi bersamanya kerana kalian terlalu sayang menyayangi diantara satu sama lain. Anda tahu yang anda akan terkorban, rebah dan tidak akan mampu berdiri lagi, tetapi anda tetap berpaut pada harapan yang tidak akan menjadi kenyataan itu. Waktu itulah anda akan mampu rasai, cinta yang saya maksudkan. Ia sangat memeritkan.

Hari ke empat puluh dua:

Biar aku ceritakan kepada mu sebuah kisah klasik, sebuah karya agung, sebuah citra indah, untuk kau hayati dikala kau pejamkan mata untuk menyaksi keindahan yang sememang sentiasa ada didalam fikirmu itu.

Pejamkanlah mata selepas ini, dan bukakanlah pintu fantasi mu, nescaya kau akan melihat aku sedang menunggumu dibawak pokok rendang itu.

Luas terbentang dihadapan kita laut yang membiru sebiru langit sebiru nila yang dititik. Cantik. Indah dan menenangkan. Menenangkan kau. Menenangkan aku. Solitary.

Kita saling berpandangan, tersenyum antara satu sama lain. Aku peluk erat tubuhmu, kau kejapkan dakapanmu kedadaku lalu aku bisikkan;

"Saya sayang awak and i think i'm in love with you, again"

berulang-ulang-ulang-ulang kali. Anehnya aku tidak jemu-jemu menyebutnya dan kau tidak jemu-jemu mendengarnya. Kau dan aku tahu yang kita berdua tidak akan jemu menyebut dan mendengarnya walau dari sinsing ke benam fajar itu. Tidak akan jemu.

Aku amat menyintainya.

Lalu aku kisahkan citra cinta ini kepada mu, wahai teman. Kau hubungilah dia dikala dia tidak akan menyangka. Kau hubungilah dia dikala dia tidak pernah bisa menduga. Lalu ku pinta kau pejamkan mata dan lafazkan sahaja;

"Saya benar menyintai awak, i love you"

Biar dia marah kerana kau gangguinya. Biar dia terdiam kerana tidak bisa berkata apa. Biar dia terlena dibuai kata seindah melodi melodi siulan mergastua disatu petang yang cerah, dihadapan padang yang luas, dibawah sepohon pokok epal yang rimbun itu, dimana kau berdua saling berpegang tangan tidak bersuara, hanya menikmati kewujudan satu sama lain. Appreciating the mere existence of each other.

Dan kau ulangi;

"Saya benar-benar menyintai awak, i love you so much"

dan ucapkanlah penghargaanmu kerana cintanya padamu, kerana kasihnya padamu, kerana sayangnya padamu, kerana berada disisimu dikala kau bangun dari lenamu diwaktu pagi, kerana berada disisimu dikala kau pulang dari kerja mu tika hari beransur malam, kerana berada disisimu dikala kau mencari dia, hanya untuk melihat dia ada. hargailah dia hari ini lebih dari semalam, hari esok lebih dari hari yang sebelumnya. Aku pasti kau akan tahu diakhir puisi ini, menghargai cinta seseorang itu sudah cukup untuk memberimu aspirasi untuk meneruskan langkah dan melangkaui lelah, sebagai bekal untuk satu hari.

Hargailah dia, biarpun sekecil mana sentuhannya terhadapmu kerana ia pasti memberi seribu makna. Kerana kau tahu, tanpa dia, kau tidak mempunyai makna.

sudahkah kau hubungi dia pada hari ini?

Hari Keempatpuluhsatu:

Bulan ditutupi awan gelap. Bintang bintang mula menyuram wajah. Kaca kaca hujan mula merintik lagi. Bayu berhenti bertiup. Dan hilang cahaya yang seakan akan ingin bersemi tatkala aku ingin mula bermimpi. Senyap.

Adakah bermula kembali malam malam kelam ku tanpa dia?
 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com