Cinta Hati Jiwa:

Sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh cinta.

Memang benar seperti yang kau pernah bisikkan, kita ditemukan untuk dipisahkan. Namun apa yang mampu kita buat melainkan doa doa yang kita panjatkan untuk mendapatkan keajaiban yang mustahil. Kita bersedia untuk hari ini, sepanjang setahun kita bersedia untuk tarikh ini, namun sakitnya tidak dapat aku tanggung dan aku tahu kau juga merasakan yang sama.

Sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh cinta.

Hati ini sudah kau miliki dan jika ada yang lain, ampun maaf kerana dia terpaksa kutempatkan ditempat yang kedua kerana singgahsana ini sudahpun ada yang bertakhta. Aku tidak akan dapat memiliki namun aku biarkan namamu kuabadi di penjuru yang paling tinggi. Kasih sayangmu itu akan kubawa sehingga aku mati. Melalui tulus cintamu, Tuhan anugerahkan aku dengan tenang dan damai hati.

Sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh cinta.

setahun yang penuh dengan rasa cinta yang begitu dalam sehinggakan kita tidak mampu memberikannya nama. Ianya bukan cinta, ianya lebih agung dari cinta, ianya terlalu sempurna dan cinta adalah kata yang tidak layak untuknya. Apalah yang telah aku lakukan sehingga Tuhan memberikan aku perasaan yang istimewa, walaupun dalamnya sedalam jurang langit yang tidak punya hujungnya, namun aku tidak alpa dan buta. Kau juga begitu kerana kita adalah orang yang sama.

Sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh cinta.

Cinta hati dan jiwa, biarkan ianya berbunga walau taman itu bukan ditakdirkan untuk kita.

Tiada Lagi:

Tiada lagi suara yang memarahiku agar aku jangan tidur lewat.

Tiada lagi suara yang sentiasa rindukan aku untuk menemaninya bila pulang kerja.

Tiada lagi suara yang membantah bila kukata Will Ferell adalah bagus.

Tiada lagi suara yang bercerita tentang roti atau salad yang dimakannya.

Tiada lagi suara manja yang buatku girang setiap kali bersama ditempat awam.

Tiada lagi suara gelak tawa bercerita kisah kisah lama.

Tiada lagi suara yang bertanya pukul berapa aku mahu bangun.

Tiada lagi suara yang mengejutku bangun dengan gelak ketawanya.

Tiada lagi suara yang mengejek ku bila aku kata aku pekerja yang rajin.

Tiada lagi suara yang memarahiku kerana aku tidak mahu sarapan.

Tiada lagi suara bertanya khabar dan apa yang aku makan.

Tiada lagi suara yang selalu merajuk kerana usikan usikan nakalku.

Tiada lagi suara yang marah setiap kali aku licik.

Tiada lagi suara gelak ketawa dengan kisah kisah hidupku.

Tiada lagi suara yang sudi mendengar apa yang aku mahu cerita.

Tiada lagi suara pergaduhan siapa lebih sayang siapa.

Tiada lagi suara yang sering memberiku semangat dikala aku keseorangan.

Tiada lagi suara yang sentiasa buat aku senyum.

Tiada lagi suara yang petah berkata bila bicara tentang politik.

Tiada lagi suara yang sentiasa mahu mendengarku menyanyi.

Tiada lagi suara yang gembira bila berkongsi cerita agama.

Tiada lagi suara yang marahkan aku bila aku batuk.
Tiada lagi suara yang terkejut setiap kali aku sudahkan ayat ayatnya.

Tiada lagi suara dia yang memanggil aku abang.

Oh Tuhan. Baru sehari dan aku sudah merinduinya begini, bagaimana mampu aku teruskan dengan sisa sisa hidupku tanpa dia. Tidak pernah aku lupa untuk berdoa agar kami di satukan dan juga tidak pernah lupa untuk kudoa agar diberi kekuatan sekiranya ianya tidak diizinkan. Hari itu adalah hari ini dan betapa sakitnya belikatku menanggung beban. Aku cintakan dia.
Kita didalam situasi yang sama namun keadaan kita tak serupa. Permaidani itu sudah terhampar untuk mu namun tidak untuk aku. Pilihan mu adalah untuk bersamaku, namun aku tidak punya pilihan, aku hanya ada kamu. Kamu tidak akan faham.

Tenggelam:

Kau tidak pernah tenggelam
cuma tangan yang sedia menyambutmu
telah ditakdirkan bukan aku
dan aku terpaksa menerima
takdir itu walau ianya
bukan seperti yang kita mahu.

Bahtera itu sedang menunggumu
dan diatas bahtera itu
adalah keluarga dan taulanmu
dan tangan yang telah
ditakdirkan untuk menyambutmu.

Kau tidak pernah tenggelam
cuma tangan yang sedia menyambutmu
telah ditakdirkan bukan aku
walau kita cuba melawan takdir
kau dan aku tahu
dihujungnya sudah tertentu.

Bahtera itu bukan pilihanmu
namun ianya menarikmu keatas
cuba memberimu cahaya
cuba memberimu bahagia
dan didalamnya ada keluarga
dan rakan taulan yang setia
walau ia bukan pilihan mu
aku tahu kau akan terselamat.

Aku bersalah kerana mencari jalan
untuk menyelamatkan diri
Aku bersalah kerana mementingkan diri
namun aku tahu jatuhmu bersambut
walau tangan itu bukan aku
namun jatuh ku buat aku tenggelam
kerana aku hanya ada kamu.

Namun setelah masa berlalu
didalam menerima takdir yang sudah tertentu
aku terima dan hanya mampu berdoa
agar tangan itu adalah tanganku
walau takdirnya telah tersurat
bukan begitu.

Hari ini aku tenggelam
dan tiada tangan yang mampu menyambutku
kerana aku tidak pernah ada
sesiapa melainkan kamu
tangan tangan lain sudah ku tepis
kerana aku hanya mahu bersamamu
dan kini, aku tenggelam sendirian.

Tiada bahtera yang menungguku
tiada siapa yang mampu menyelamatkanku
tiada tangan yang menyambutku
akhirnya akulah yang tenggelam
dan aku lah yang telah karam
kedalam jurang yang paling dalam
dan aku tak mampu berbuat apa apa.

Aku cuba melihat dari matamu dan memahami
namun cubalah melihat dari mataku dan fahami
kerana dari mataku, kau tidak tenggelam
cuma tangan yang menyambutmu
bukanlah tanganku.

Bila Aku Cemburu:

Bila aku cemburu, fikiranku buntu.
Bila aku cemburu, keadaanku tak menentu.
Bila aku cemburu, sekecil kecil perkara menjadi sebesar besar benda.
Bila aku cemburu, aku menjadi lemah selemah lemahnya.

Bila aku cemburu, aku tak mahu rasa begini.
Bila aku cemburu, tutur kata sukar dierti.
Bila aku cemburu, aku guris hatinya.
Bila aku cemburu, aku buat dia merana.

Bila aku cemburu, aku rasa aku tidak wujud.
 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com