Dimana Sahaja Kecuali Disini:

Nak lari. Nak lompat. Nak sembunyi. Nak elak. Nak pindah. Nak randah. Nak redah. Dimana sahaja kecuali disini.

WRX1749:

Akhirnya aku merasai perasaan itu. Perasaan yang aku jangka akan aku lalui namun misteri akan rasa lazatnya. Aku akhirnya memandu kereta milikku sendiri. Terasa seperti didalam kotak yang aku miliki sendiri. Terkadang aku bertanya, kereta siapa yang aku pandu ini? Oh rupanya, benakku menjawab, kereta milikku sendiri. Hasil usaha titik peluh menyimpan wang ribuan ringgit akhirnya berbaloi.

Tapi aku punya satu masalah. Aku rasa aku sudah dilengkapi dengan ketepatan penakkulan mantik yang cukup gah lagi berdaya saing tapi hampir hampir juga terbabas kesana sini. Aku rasa aku sudah dilengkapi dengan kepakaran untuk membuat penilaian yang rapi, kemas dan tersusun tapi tercalar juga kereta ku terlajak undur menaiki bukit. Dimana silapnya.

Akhirnya aku punya kereta sendiri. Alhamdulillah.

Berjoget Bukan Berdansa:

Lagu apakah ini? Kumpulan apakah yang menyanyikan lagu berhantu ini? Sungguh cheesy melodi lagunya tapi bunyi gitarnya menghantui minda ku. Terasa hendak berjoget joget dibuatnya. Pening kepala memikirkan kenapa lagu itu terlekat didalam kepala. Aku terasa hendak bejoget joget dengan langkah yang penuh kelucuan, kecomelan dan keanehan. Aku mahu berjoget joget tetapi aku tidak punya sepatu joget. Aku harap penyanyi lagu berhantu itu boleh memberikan aku sepatu joget supaya aku boleh berjoget joget dengan penuh kelucuan, kecomelan dan keanehan.

Tanpa:

Bangun pagi tanpa mendengar suara manjanya seolah olah membuatkan aku merasakan bahawa aku tidak pernah bangun dari lena. Tanpanya seolah ada sahaja yang tidak kena tapi entah kenapa aku tidak punya jawapannya. Yang aku tahu aku mahu bangun pagi dikejut oleh suara malaikat cinta, bidadari kecilku yang jelita.
Duhai bidadari, kejutkanlah aku setiap pagi dengan ucapan cinta bahagiamu.

Dua Kosong Kosong Sembilan:

Seekor patung beruang berbulu putih cuba memanjat dinding namun terjatuh dan tergolek, terhimpit dan terbalik. Citanya tak sampai, cintanya terlerai. Layangnya putus tali. Namun dia tetap mengikut liuk lintuk kemana sahaja bayu petang itu ingin meniupnya. Barat timur selatan utara.
Patung beruang itu bangun lagi tapi bulunya penuh dengan kotoran yang tak tertanggal. Lalu dia menangis teresak esak dipenjuru bilik kerana dia sudah tidak ada bulu lagi untuk hari esok.
 
 
Copyright © Metafora Post Modernisme
Blogger Theme by BloggerThemes Design by Diovo.com